Sehari-hari kehidupan kita diwarnai dengan pelbagai warna. Warna di sini bukanlah saya gambarkan seperti merah, biru, hijau, dan warna-warna yang kita sukai. Apa yang saya maksudkan di sini adalah "warna-warna" kehidupan kita yang mungkin dipenuhi dengan kegembiraan, kebahagian, dan kadangkala kedukaan dan kekecewaan.
Bersyukurlah sehingga kini kita masih bisa merasai setiap nikmat-nikmat yang diberikan. Saya beranggapan ia nikmat, jika kekecewaan dan kesedihan sesekali datang menerpa. Kadang-kala hati timbul perasaan penat dan terdetik putus asa dalam diri. Namun, jiwa mengatakan walau sejauh mana langkahan dan duri-duri yang dipijak ia perlu terus digagahi.
Positif dalam berfikir.
Siapa kata ia sukar dilakukan? Ia mudah namun bukan dengan hanya memejamkan mata dan semuanya kembali seperti biasa. Warna-warni kehidupan kita tergambar di setiap sudut kehidupan kita. Walaupun adakalanya, warna terang, kadangkala timbulnya malap. Siapa kita untuk menduga dalamnya sebuah lautan. Warna-warni kanvas kehidupan kita adalah lambang terbaik kehebatan dan kekuasaan zat Allah yang maha mencipta. Ia penting supaya kita sedar dan kita tahu haluan sebenar kehidupan kita. Bukan pada apa yang kita lalui sekarang, tapi pada apa yang bakal kita tempuh di alam yang jauh di sana. Hidup ini juga tidak berjalan dengan kehendak kemahuan kita, tapi ia adalah aturan darinya. Lihatlah di sekeliling kita, lihat hijaunya daun-daunan dan segarnya udara yang dihembus.
Kita yang patut mencorakkannya.
Ibarat diberikan dengan sehelai kain putih, dan ilhamnya dari kita untuk mencorakkan kainnya. Setiap dari kita berhadapan dengan pelbagai corak kehidupan. Dan siapa kita untuk mengeluh dan menyalah takdir yang tertulis. Melihat kepada kata-kata seorang personaliti tv yang begitu optimis dalam meluahkan apa yang dihadapinya berhubung dengan masalah keluarganya. Saya begitu kagum dengan kata-katanya. Hati perempuan mana yang tidak tersentuh setiap kali mendengar apa yang dikatakan beliau. Memang ia sudah tertulis,tapi yang mencorakkan itu adalah kita sendiri.
Firman Allah : "Allah telah menciptakanmu dalam bentuk yang paling bagus"
[surah At-Taghabun:3]
Bahagia dengan bersyariat.
Orang sakit akan seronok selepas sakitnya sembuh dan akan merasa kehilangan apabila penyakitnya tidak ada. Muzik yang tidak keruan, filem-filem yang merosakkan, bahan bacaan yang mencemarkan dan buku-buku fiksyen yang tidak berkualiti, tidak dapat memberikan kebahagian pada kita?
Jika ada yang mengatakan perkara-perkara seperti di atas boleh memberikan kebahagiaan maka orang itu adalah pembohong besar. Sudah jelas lagi bersuluh. Siapa sangka semua ini mudah menjerumus kepada kesedihan. Kesedihan hati dan jiwa-jiwa kita. Kesihatan hati adalah apabila kita bersih dari sifat syirik, nifaq, dan hasad dengki. Moga Allah melapangkan hati-hati kita. Hiduplah dengan penuh bersyariat.
Sekali-sekala jangan berputus asa. Mencuba itu memang lambat dan memakan masa. Lebih dari itu pasti ada penghalang ke arah cita-cita itu. Justeru, jangan sesekali mengaku kalah dengannya.
Hiduplah dengan bersyariat lalu diukir dengan warna-warninya sebuah kehidupan :)
[sumber gambar deviantart.com]
No comments:
Post a Comment