25 November, 2011

Erti hidup..

Antara kejujuran kata dan keikhlasan di hati. Ketika pena kelu untuk berbicara.Ada yang mampu diceritakan melalui lukisan kota terbentang luas di sana.Aku menyusuri hiruk piruk kota yang penuh dengan kebisingan.

Namun di situ ku belajar erti sebuah kehidupan. Kedewasaan yang mengajarku tentang makna sebenar kehidupan. Tentang suara hati yang tidak pernah menipu sehingga kini. Tentang erti hidup yang banyak memberi.

Satu baris kata yang tertulis sehelai kertas yang putih tidak mungkin bisa difahami hanya dengan sekilas pandangan. Jadi sejauh mana penceritaan hidup akan terus dijalani?

Kita corakkan ia sendiri..

off~~

19 November, 2011

A journey of choices..

Dear Heart,

You are my secret keeper. You hide what I want no one in my personal bubble to see. I keep you hidden under lock and key. My heart is the one clutching the pen and pencil, never my fingers. I write what I feel is right. I'm allowed to be free and never apologize. I can write my fears, my hates, my loves, and everything that shouldn't be seen by my surroundings inside of you.

I do not think I'm a good writer, I've never thought that. I'm someone who writes because I need to get everything out I know all about you, my little green book. Let me tell you a bit about myself. I am a girl of 23 who's emotions are running around the clock, I am always passionate about something and it shows from the way I speak. I am always thinking. I am pensive, outwardly loud, inwardly quiet, I speak before I think.

I really love the people in my life, with a few exceptions that you will figure out later. Most of them taught me about the meaning of life. My treasures, my joy and at the same time the limitless love we share.

Heart, I feel like you are a person and that is why I talk to you as if I would any other friend. Please let me confide in you. Please listen to me and understand more than anyone. Here's to the first...stay safe, for I shall hide the key to the truths in my heart.

God, please pray for ‘us’. A tale of small miracles and big surprises…

Bismillahirahmanirrahim….

26 October, 2011

what we say,mean and Do..

Bismillahirahmanirrahim..

well,the truth about life is that we are all alone,but when somebody loves you,right,that experience is shared.Love is the only real connective tissue that allows you to not live and die by yourself.It gives purpose beyond you.

Insyaallah for the rest of my life.

off!

20 September, 2011

Berjalan mengejar mimpi.

bismillahiramnirrahim.

Terasa lama tidak menulis.Alhamdulillah masih diberi kesempatan lagi.Doakan saya ya sedang usaha untuk dapatkan rumah idaman saya.Terima kasih pada insan yang selalu sentiasa bersama saya.Doa dan redha kedua orang tua saya.

Ya Allah permudahkan urusan saya. Banyak perkara yang perlu saya belajar.Alhamdulillah terima kasih untuk setiap rezeki dariMu.

jumpa lagi ya.

28 August, 2011

Nota hati Ramdhon III

Bismillahirahmanirrahim...

Alhamdulillah,pejam celik pejam celik ramadhon hampir meninggalkan kita. Terasa begitu kejap dan saya juga merasakan tahun 2011 bakal berlalu beberapa bulan sahaja. Pelbagai perkara yang dilalui menjadi setiap daripada kita punya kenangan dan hal yang disimpan. Ramadhon pada kali ini begitu berbeza seperti biasa tidak dapat berbuka sepenuhnya di rumah. Namun,berpeluang untuk hari-hari akhir ramadhon duduk semeja dengan orang tua saya.

Apa sahaja yang terjadi dalam hidup kita,biarkan ia sehingga sebentar sahaja kerana ia proses pembelajaran dalam kehidupan kita. Kehidupan yang perlu kita tempuh dengan penuh keikhlasan dan berlapang dada untuk segala sesuatu. Semoga ramadhon kali ini lebih bermakna buat kita dan semoga Allah permudahkan segala urusan kita untuk hari-hari mendatang.

Nampaknya proses pembelajaran saya bermula di tempat kerja. Banyak perkara yang perlu saya belajar dan pada yang banyak memberi sokongan dan nasihat yang tidak putus-putus terima kasih. Saya doakan semoga Allah permudahkan segala urusan kalian.

Ya Allah semoga setiap keputusan yang saya buatbaik untuk saya,keluarga dan yang penting pada agama saya.

Salam lebaran buat semua.Syukur kita masih punya kesempatan. :’)

Saya berhenti dulu,jumpa lagi di penulisan akan datang.

Nota ramadhon:
1 hb sudah perlu kembali ke KL.Jejak kaki dengan seribu pembelajaran menanti di sana.
Ya Allah permudahkan urusan saya selepas ini ya.Berdebar :D

15 August, 2011

Nota hati Ramadhon II

Bismillahiramnirrahim..

Alhamdulillah syukur pada Dia yang masih lagi meminjamkan kita secebis nyawa yang masih lagi singgah di jasad kita. Hari ini 15 Ramadhon 1432H berlalu di sambut dengan hati yang pelbagai daripada kita semua. Ramadhon yang memberikan pengertian yang bermakna untuk kita semua. Dan setiap daripada kita pastinya punya penceritaan yang tersendiri. 

Jika ramadhon sebelumnya saya masih lagi bergelar pelajar universiti. Alhamdulillah pada kali ini saya bergelar pekerja. Tidak lupa pada setiap hari-hari yang dilalui kita adalah ibadah. Bekerja dan belajar adalah dua benda yang berbeza. Tapi saya punya pandangan yang tersendiri, bahawa tiap-tiap hari kita adalah proses pembelajaran. Lalu bagaimana kita sendiri menghadapinya dengan berlapang dada?

Terima kasih Tuhan, tidak putus-putus saya panjatkan untuk setiap yang terjadi. Banyak pengajaran yang saya pelajari. Sungguh benar,kita hambaNya memang layak di uji, berdepan ujian menambahkan kesyukuran kepadaNya jika kita tahu bagaimana mendepaninya.Syukur itu bukan hanya di bibir,namun bagaimana lahirnya melalui perbuatan kita.

Apa yang cuba saya coretkan di sini adalah seringkas manapun apa yang kita lakukan. Ia perlulah lahir dari hati yang ikhlas. Perjalanan hidup kita esok tiada siapa yang tahu, kita sendiri sudah tentu tidak dapat menduga. Terima kasih Tuhan, untuk setiap arah kompas saya sehingga kini ia memberi seribu makna buat saya.

Sungguh benar rahmatMu meluas,bertebaran di bumi yang tandus namun ditapisi dengan buih-buih iman di hati untuk penghuninya yang tahu makna hakiki. Dan Alhamdulillah,saya kini melangkah sebagai wanita yang punya tanggungjawab di bumiNya.

Doaku ya Tuhan,peliharanya kedua ibu bapaku, ahli keluarga dan kaum kerabatku, sahabat handai dan mereka di sekelilingku. Payungi mereka dengan hidayahMu . Sungguh saya tidak sabar untuk berbuka puasa di akhir-akhir ramadhon bersama keluarga.

Saya berhenti dulu di sini.

Assalamualaikum wbt :')

Nota ramadhon: Kebahagian letaknya di hati bukannya kesempurnaan luaran semata-mata.

06 August, 2011

Nota hati ramadhon I

Alhamdulillah, saya baru sahaja sempat mencoretkan kata di sini. Sudah hari ke enam ramadhan. Memang begitu pantas masa berjalan. Alhamdulillah,syukur sudah 23 tahun umur kini, dan saya masih diberikan kesempatan hadirnya ramadhan pada kali ini. Ramadhan seperti biasa disambut dengan hati yang gembira dan sayu. Terdetik di hati ini mungkin ini juga ramadhan yang terakhir buat saya. Dan masa yang ada tidak perlu di sia-siakan. Siapalah kita yang dapat menentukan apa yang berlaku pada kita esok hari bukan? Saya sekerdil hamba yang masih berjalan di jalanNya demi secebis ilmu yang dicari.

Dalam meniti hari-hari sejajar dengan masa yang berdetik, banyak yang saya pelajari. Menjadi seorang insan yang perlu tahu apa tujuannya dan melakukan setiap sesuatu itu perlu kena pada tempatnya. Dan berbicaralah seiring dengan tingkahlaku yang dizahirkan. Apa yang mampu saya ucapkan,ya Allah terima kasih dan syukur saya masih di sini. 

Syukur saya masih lagi dberikan kesempatan bernafas. Ya Allah terima kasih untuk setiap rezeki yang Kau beri tidak pernah putus-putus. Terima kasih ya Allah atas setiap nikmat yang Kau hulurkan. Syukur atas kehadiran insan-insan yang banyak menyedarkan diri ini,dan kedua orang tua saya penguat diri ini. Syukur juga kebenaran itu jelas di depan mata. Ya Allah tiada apa yang mampu saya minta selain menjadi hambaMu yang sebenar dan punya hati yang tenang di jalanMu. 

Jom semangat untuk ramadhon yang masih lagi berbaki!

Jumpa nanti ya.

Nota ramadhan:
Kegagalan itu adalah sesuatu yang masih ditundakan untuk menuju sesuatu yang dinamakan sebuah kejayaan.Tuhan ajarkan kita tentang usaha, sabar dan kesungguhan!

28 July, 2011

Catatan hati sebelum ramadhan.

Alhamdulillah, syukur yang tidak terhingga tinggal beberapa hari sahaja lagi kita akan menyambut kedatangan ramadhan. Pastinya pelbagai perasaan yang ada, dan jujurnya saya begitu teruja menanti kedatangannya.Tidak pernah putus-putus hati mendoakan moga saya sempat menempuhnya dalam detik 30 hari. Moga ramadhan kali ini lebih baik dan memberikan seribu makna pada saya.

Pengertian ibadah yang dilakukan bukan sahaja hanya tertumpu hanya pada bulan ramadhan. Tapi bagaimana kita laksanakan semua ini sebelum dan selepasnya. Namun, kita semua akui bahawa kedatangan bulan ini adalah satu dalam seribu bulan yang dinanti. RahmatNya tidak pernah putus-putus bahkan pada bulan ini semua pahala ingin kita rebutkan.

Sebelum menanti ramadhan untuk beberapa hari sahaja lagi. Saya dan teman-teman di uji dengan beberapa masalah. Namun, saya percaya semuanya dapat ditangani dengan sebaiknya. Dan sehingga kini ,kami masih mengamal cara duduk berbincang dan bertanyakan pendapat masing-masing. Jujurkan apa yang perlu dikatakan, ada hikmah dari hasilnya. Biasalah setiap dari kita punya pendapat yang berbeza, apa salahnya cuba lihat dan dengar dari sisi yang berbeza juga bukan? *optimis*. InsyaAllah semuanya akan dipermudahkan.

Dan ramadhan kali ini juga, kami akan berpindah ke rumah baru dan bekerja dengan suasana kerja yang lebih baru. Ya Allah saya sangat bersyukur, di kelilingi oleh insan-insan yang sangat membantu dan apa yang penting kita tahu peranan setiap daripada kita. Setiap apa yang berlaku, menjadikan kita perlu bijak dalam mengatur langkah. Tidak perlu risau jika langkah yang diatur tersasar sedikit. Lihatlah dengan positif dan perlu merancang untuk keputusan yang lebih baik. Siapa yang mahu jatuh dalam lubang yang sama bukan?

Allah kurniakan kita fikiran dan hati dan ditengah-tengahnya perlu adanya kewarasan dan pertimbangan rasional yang sepatutnya kita fikirkan dan laksanakan. Yakin bukan sahaja hanya perlu di hati,bahkan yakin juga dizahirkan melalui perbuatan. Bagaimana pelayaran sebuah kapal itu dapat dilihat?senang sahaja, lihat sahaja pada bagaimana nakhoda sebuah kapal yang mengemudinya.

*off*

minggu ini minggu terakhir "training class" *wink!*

Nota kaki:
Mungkin ini juga ramadhan terakhir kita, siapa yang tahu?
Sudah tertulis takdir manusia di tangan Tuhan.

26 July, 2011

Kasih berTuhan..

Titis-titis hujan yang baru sahaja singgah ke bumi membuatkan kedinginan malam bertambah dingin. Hembusan angin di luar jendela menerpa ke jasad yang sedang berdiri di tepi jendela. Bahkan, langit gelap seakan membicarakan bahawa setiap penceritaan di bumi yang sedang di atur oleh sang Agung semesta Alam yang perlu di ketahui oleh hambaNya. Jika langit hendak runtuh sekarang, mana bisa manusia mampu mengandaikannya bersama birunya lautan yang luas. Bagaimana bisa melawan kehendakNya, kita manusia dibatasi takdir.

Kasih Tuhan tidak bertepi, bahkan tidak salah punya angan-angan jika masih berpijak di bumi yang nyata. Tidak salah bercita-cita tinggi selagi mana ia tidak mencemuhkan hidup yang lalu, kerana ia guru pada hari semalam. Lihatlah hidup dengan keazaman dan hayatilah setiap saat dengan penuh kesyukuran. Kerana siapa kita dulu bukan penentu kita pada masa hadapan, tapi apa yang kita corakkan pada detik dan saat ini itulah siapa kita masa hadapan. Jauh harus lebih ingat berapa langkah sudah di atur melalui kasih dariNya yang tidak pernah putus-putus.
www.deviantart.com

Pada setiap bait-bait kata yang diucapkan , diiringi selembar kasih dari Tuhan. Saya selalu meletakkan bahawa seseorang itu berjaya bukan kerana kegeniusannya atau kerana keturunannya. Kejayaan sebenar bermula dengan perubahan sikapnya iaitu apabila kita mula memandang jauh kehadapan dengan penuh harapan serta menginginkan ketinggian dan kemuliaan, renungan dan penghayatan itu kemudiannya dipantulkan kepada hakikat diri kita sekarang .

Lalu kita mula meneliti sikap-sikap yang perlu kita bangunkan untuk meraih segala harapan yang kita inginkan tadi di samping kita cuba menanggalkan segala sikap yang akan menghalangi perjalanan kita. Kasih sayang itu seninya fitrawi kerana sayangNya, kita bisa menghirup segarnya udara kerana Cinta dan SayangNya kita bisa menikmati indahnya pelangi di petang hari.

Matinya tiap-tiap yang bernyawa apakala berakhirnya umur di dunia, semuanya di hidupkan semula barakah indahnya CINTA Dia buat kita.

Jumpa lagi :')

Nota kaki: Berjalan menilai dan mentafsir.

24 July, 2011

Nilai pada diri .

Segala puji buat Dia di atas sana yang tidak pernah putus-putus memberikan nikmat iman dan islam. Alhamdulillah kita sesat di dalam hidayahNya bukan berpatah balik ke arah yang salah. Syukur untuk setiap detik nafas yang bernyawa di muka bumi ini diberikan nikmat yang tidak terhingga. Suka dan duka, kesusahan dan kesulitan itu yang diterima oleh kita bukanlah bebanan yang sepatutnya kita pikul dengan seberat-beratnya. Jika kita jelas dan fahami, ia adalah sebahagian daripada kehidupan kita, di mana Dia tidak akan membebani hambaNya mengikut kemampuan mereka.

Manusia memang bijak berkata-kata,namun bicara bagaimana yang boleh memberikan kesan dan penilaian kepada pendengar. Tiada kata yang kosong yang mungkin keluar daripada mulut seorang insan jika dia punya ilmu di dada. Tiada kata-kata yang dilakukan tanpa seiring tindakan yang ditunjukkkan. Bersangka baik untuk setiap sesuatu dan menjadi yang terbaik untuk diri sendiri adalah hasil yang terbaik yang dapat diperolehi. 

Berbicara mengenai nilai kalbu yang ada di dalam jasad kita tidak terhitung nilai positifnya. Ia jauh di sudut hati yang dititipkan dengan nilai-nilai keimanan yang sepatutnya ada pada diri kita dan begitu juga pada saya. Jika dulu kita buta menilai erti kehidupan yang sebenar dan hanya tahu menyalahkan orang untuk setiap yang berlaku,walaupun alasan tidak sehaluan dan alasan apa lagi yang memberikan seribu kata. 

Namun,eloknya saya berpesan kepada diri bahawa kita perlu nilai diri kita sendiri. Sejauh mana kita jujur dengan diri kita sendiri,dan terdetikkah di hati kita bahawa Dia mengetahuinya walaupun sehalus pasir di pantai?

Kita memang gah dan bijak berkata-kata,namun harus ianya seiring dengan perbuatan yang dizahirkan bukan? InsyaAllah moga Allah titipkan keredhaan dan kesenangan nikmat buat kita dalam kehidupan seharian kita.

Nota kaki: 
Ramadhan menghampiri dan saya begitu teruja sekali. Moga ramadhan kali ini saya 
berkesempatan memperbaiki segala kekurangan diri.

18 July, 2011

Usrah terdetik di hati :)

Bismilahiramanirrahim..

Alhamdulillah saya masih lagi diberikan kesempatan untuk menulis. Menulis ini hanya untuk diri saya sendiri,menulis ini membuatkan saya merasakan sesuatu yang tidak mungkin bisa saya ucapkan dengan kata-kata . Bahkan menulis juga membuatkan saya merasakan nikmat kehidupan yang mesti selalu kita syukuri. Setiap masa yang berdetik membuatkan hidup ini berputar dengan seadil-adilnya. Manakan tidak setiap tindakan yang kita buat diperhatikan bukan?

Semalam 17 julai,saya berpeluang mengikuti usrah yang disampaikan oleh Dr.Harlina Siraj di masjid Al-mukhlisin Alam Damai, Cheras. Hati sangat tersentuh dengan setiap apa yang diulaskan. Sudah lama saya meninggalkan usrah beberapa tahun yang lalu ketika masih menuntut ilmu di maahad.

Dalam Usrah beliau “ Let’s return to Allah. Let’s find out real selves,our Fitrah”. Subhanallah nikmat iman dan islam yang diberikan oleh Dia kepada kita secara fitrah selalu kita lupakan. Namun, selagi masa berdetik masih belum terlambat. Betul,itulah yang selalu saya katakan pada diri. Dan untuk dapatkan apa yang terbaik,semua itu bermula dari kita.

Tiada apa yang mampu saya harapkan,selain menjadi wanita yang solehah dan anak yang baik kepada kedua ibu-bapa saya. Suatu hari nanti kita pasti kembali kepada DIA,itulah janji Allah yang pasti.

“ I want Allah to Love me,
I need Allah to like me,
I do not want Allah to leave me alone in the dark”

Di samping itu,kami juga membelek beberapa ayat di dalam tafsir Al-quran, beberapa ayat di kaji. Betapa jahilnya kita,jika hanya tahu membaca tapi pengertiannya di abaikan. Saya sangat tersentuh setiap apa yang diperkatakan. Menjadi muslimah yang sebenar, bukanlah sesuatu yang merumitkan. Ia perlu bermula dari kita. Dan ia sangat menyenangkan percayalah. Saya selalu berfikir,apa yang kita lakukan tanpa niat dan alasan yang kukuh,tidak akan kemana-mana. Dan itu semua saya belajar.

Segala urusan saya dipermudahkan,Sudah saya lihat ada hikmah disebaliknya. Namun, putus asa itu perlu di jauhkan dalam diri kita. Tiada yang mustahil untuk orang yang berusaha dan tidak juga mustahil untuk orang yang menginginkannya. Syukurlah kin..syukur..

Saya mahu ke usrah lagi jika berkesempatan,sangat terkesan di hati. Oh ya! Doakan saya minggu ini ada penilaian di tempat kerja yang perlu saya lakukan yang terbaik.

Nota kaki: Mode in this week: Event Management!

Jumpa lagi :)

09 July, 2011

Bicara hidup pada kata.

Bismilahirahmanirrahim..

Bicarakan hidup pada titik takdir yang dilalui tidak mungkin menjadikan seorang itu mudah untuk berpatah semangat. Sedangkan semangat yang pernah dipupuk dulu sebenarnya tidak pernah pudar cuma sesekali hilang entah kemana. Saya menulis berdasarkan pengalaman hidup yang semakin mematangkan diri. 

Menulis juga membuatkan saya sedar bahawa,tiap-tiap coretan hidup yang dihadapi tidak akan lenyap walaupun tidak ditulis melalui penulisan seperti ini. Namun, kata orang jika hanya kata sahaja tapi tidak terlahir daripada perbuatan itu hanya sekeping kertas kosong yang tiada makna apa-apa.

Saya percaya takdir dan penceritaan hidup kita berbeza. Tiap saat dan ketika Allah pasti menguji kita, samada dengan kesenangan dan kesusahan yang dilalui. Cuma tanya pada diri kita adakah setiap hari kita diuji,dan adakah setiap hari Allah berbicara dengan kita? 

Saya yakin, saat ini Allah sedang berbicara dengan saya erti kesabaran dan semangat yang tidak pernah putus asa. Saya tahu saya punya semua itu, dengan percaya kepada Dia bahawa tiada sesuatu pun di dunia ini yang sia-sia selagi mana kita tahu siapa kita dia sebalik makna hambaNya. 

Setiap hari,apabila bangun sahaja dari tidur, itulah hari yang beruntung,kerana kita masih lagi diberikan peluang dan kesempatan untuk memperbaiki diri kita. Maaf saya katakan,jangan pernah bilang semua yang jadi itu takdir,selagi mana kita sendiri sukar memahami dan tidak mengerti apa sebenar maknanya.

Walaupun apa jua takdir hidup yang dijalani, tidak pernah saya lupa bahawa keikhlasan dan kejujuran untuk setiap tindakan yang dilakukan itu begitu penting. Dan kini saya tahu,kita masih berpijak di bumi yang sama. 

Oh ya, saya nampak awan biru di sana! :')

*off*

Nota kaki: Doakan saya ya,saya sedang belajar dunia It. Komunikasi dan It jauh rasanya.

26 June, 2011

Tinta Hati :')

Assalamualaikum wbt~

Maaf saya sangat tidak sempat untuk menulis apa pun. Bulan ini jadual saya begitu padat.Begitu juga di hujung minggu.Saya doakan moga setiap langkahan kita di iringi redhaNya. Ingatlah siapa kita di bumi ini,dan yang penting jujur dan ikhlaslah untuk setiap yang kita lakukan. 

Berlapang dadalah untuk setiap sesuatu,dan perbaikilah pergaulan kita sehari-harian,bukan sahaja dengan makhluknya bahkan juga dengan DIA. Kecantikan itu bukan di nilai pada luaran dan cantiknya rupa paras seorang. Pada saya kecantikan yang sejati adalah dari dalam diri. Hati yang ikhlas dan berpaksikan syariat pada agamaNya. Itulah nilai yang indah.

‎"A good looking woman works out to keep her body shape. But a pretty woman kneels down in prayer to keep her heart shape" Ya Allah bless us with a pure and easy death,return to you without grief and difficulty. I love myself for the sake of Allah. ♥ ♥
.^_^.

Jumpa lagi InsyaAllah.

Nota kaki: Jejak-jejak kaki di atas rencanaNya :')
Salam sayang dari saya.

31 May, 2011

Sejadah terakhirku..

Dingin malam terasa kelainan kini
Ku sujud di sejadah lesuku
Ku lihat kebesaran titik-titik zikrullahMu
Terakhir kali ku lontarkan pengharapanku..

Aku tersungkur terjatuh ke bumiMu
Aku bangun melangkah untuk terakhir kali
Aku cuba bernafas untuk kesekian kali
Ku buka mataku namun tidak termampu..

Suaru ku tidak di dengar lagi
Aku hanya mampu melihat kerisauan
Tiada lagi bayangan ilusi di depan mata
Aku kaku di sini tanpa sepatah kata..

Dan sujud terakhirku di sini
Di atas hamparan sejadah terakhirku
Mahu mengerti makna hakiki
Aku pergi menyusul kembali
Setelah di panggil menghadap Illahi

Kini ku akur untuk kesekian kali...

Nota kaki: kembara di penghujung doa..

Shaiqin aisyah
Di tulis pada 9.38am_28 Jamadilakhir 1432H.
Gambar: www.deviantart.com

29 May, 2011

Antara ribut hati dan nilai sabar.

Bismillahirahmanirrahim..

Bukan hati kita tidak bisa mengerti bukan hati tidak pernah memahami. Cerita dan kehendak yang tertulis sesekali tersimpan di ingatan. Cuba dileraikan namun masih kuat di hati. DIA itu mengerti setiap masa dan sentiasa di sisi. Sewaktu melihat gelak ketawa kanak-kanak membuatkan hati ini tenang dan gembira. Terasa ingin kembali menjadi seperti mereka.

Namun,apakan daya inilah proses kehidupan. Dari lahir sebagai seorang bayi,sehingga meningkat dewasa proses kehidupan sentiasa berputar. Kehidupan yang dilalui hari-hari mengenal erti nikmat dan hikmah dariNya. Kadangkala, manusia itu sendiri terlepas pandang, bahkan berpaling untuk merasakan sesuatu yang lebih baik.

Cerita yang mungkin berbeza di antara kita semua menjadikan hidup ini sesuatu yang indah untuk dihargai. Punya persoalan dan jawapan bagi setiap sesuatu. Namun, titik kesabaran dan kejujuran yang perlu kita semat dalam hati sedetik pun tidak pernah goyah pengharapan padaNya. Jujurnya, nilai-nilai ini menjadikan kita insan yang tidak pernah mengeluh erti putus asa dan rahmat darinya. Kata ini mungkin tidak bernilai pada yang tidak tahu makna,namun DIA punya jawapan yang tertulis.

Manusia itu punya hati dan akal yang memberikan ruang untuk manusia berfikir. Antara kewarasan akal dan iman yang terpahat di dada menjadikan setiap tindakan yang dibuat seiring dan berlapang dada dengan segala sesuatu. Tergesa-gesa untuk setiap tindakan yang dilakukan menjadikan manusia itu terburu-buru dalam melakukan keputusan.

Rasulullah s.a.w bersabda : Orang kuat itu bukanlah yang menang dalam gulat tetapi orang kuat adalah yang mampu menahan nafsu amarahnya. [HR. Bukhari dan Muslim]

Saya masih ingat sehingga kini bahawa nilai amarah itu tidak mungkin dapat melahirkan satu hasil yang baik. Amarah itu tidak mendatangkan sebarang kebaikan melainkan kemudaratan yang mungkin memberi kesan pada jiwa manusia. Teguhkan iman di hati, perbaharuilah sesuatu tindakan dengan berhikmah.

Nilai kesabaran perlu disemat dan kejujuran itulah utuhnya hati seorang muslim. Lahirnya sebuah naluri hati yang tidak mungkin bisa menipu pandangan hati manusia jika terarah  kepada penciptaNYA yang agung.

“Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu amatlah berat kecuali bagi orang yang khusyuk.” [Surah al-Baqarah, ayat 45]

Sungguh hidup ini sesuatu yang indah untuk dinikmati dan dikongsi jika kita tahu bagaimana pelayaran sebuah nakhoda itu berakhir. Qalbu salim adalah hati yang sempurna dicari sepanjang pelayaran seorang insan bergelar hamba.

Allahualam..

nota kaki:
-Kejujuran dan keikhlasasn itu bukan sesuatu yang fisikal dilihat, ia sesuatu yang indah apabila dirasai.
-Saya ingin terus menulis.Ameen~

26 Jamadilakhir 1432H_ 1.35pm

17 May, 2011

Semalam...

Semalam...

Jika langit hendak runtuh
Bersama birunya awan di lautan luas
Bagaimana bisa melawan kehendaknya
Kita hamba yang dibatasi takdir
Di situ punya jalan ceritanya

Deruan ombak di lautan luas
Bersyukur dengan kehidupan
Anugerahiku hari ini rasa haus
Hati akan menjadi tepian pantai
Dari samudera tidak punya gelombang

Bila mereka sedang bersukaria
Renunglah dalam ke lubuk hati
Di sanalah nanti mereka dapati
bahawa hanya yang pernah membuat derita
berkemampuan memberi bahagia.

Jika mereka berdukacita
Renungilah lagi, ke lubuk hati
Di sanalah pula bakal ditemui
bahawa sesungguhnya
Mereka sedang menangisi
sesuatu yang pernah
mereka syukuri ya Rahman..

shaiqin aisyah
14 may_11 Jamadilakhir 1432H
Di bawah cahaya bulan penuh_perhentian
Seminit waktu.

27 April, 2011

Nota fikiran catatan hati.

www.deviantart.com

Hidup memanggil dan melantunkan kita dari satu tempat ke tempat yang lain dan begitu juga nasib yang memindahkan kita dari satu tahap dan tapak yang lain. Dan kita yang diburu oleh keduanya, hanya mendengar suara yang mengerikan, dan hanya melihat susuk yang menghalangi dan merintangi jalan kita. Lalu kita terduduk seketika.

Cinta lalu dan hadir di depan kita, berjubahkan kata kelembutan tetapi kita lari ketakutan, atau bersembunyi dalam kegelapan bahkan ada pula yang mengikutinya, untuk berbuat kejahatan atas nama sucinya sebuah nota cinta.

Meskipun orang yang paling bijaksana terbongkok kerana memikul beban Cinta yang dikotorinya tapi sebenarnya beban itu seiringan bayu nun di sana tanpa perlu titisan cela di atasnya.

Kebenaran memanggil-manggil kita di antara tawa hilai anak-anak kecil dan pelukan ibu dan ayah, tapi kita menutup pintu keramahan baginya, dan menghadapinya bagaikan musuh di depan mata.

Hati manusia menyeru pertolongan sedalamnya , jiwa manusia memohon pembebasan tetapi kita tidak mendengar teriak mereka, kerana kita tidak membuka telinga dan berniat memahaminya. Namun orang yang mendengar dan memahaminya kita sebut gila lalu kita tinggalkan ia begitu sahaja. Mana hilang Nur pada jalannya.

Kita dikatakan amat terikat pada bumi, sedangkan gerbang Tuhan terbuka lebar selebar lembayungnya di sana. Kita memijak-mijak titian titi kehidupan sedangkan kelaparan memamah hati kita. Sungguh betapa budiman dan agung Sang Hidup terhadap Manusia, namun betapa jauh Manusia meninggalkan Sang HidupNYA.

Shaiqin Aisyah
8.35pm_24 jamadil awal 1432H
(sekeping roti secawan teh,semanis senyuman yang diukir)

27 March, 2011

Ilham tinta..

Lama tinta tidak mengeluarkan kata. Namun punya bicara yang ingin di luahkan lalu hilang di sudut hati bersama seribu kata yang mungkin sukar di ungkapkan. Saya bersyukur masih diberikan kesempatan saat ini bisa merasakan biru warna di langit. Menanti apa pula penceritaan untuk hari esok buat diri ini. Saya masih di sini,sesekali menjenguk blog yang sudah lama tidak di isi dengan penulisan yang kadang kala bisa membangkitkan semangat diri.

Buat masa ini saya sangat sibuk dengan kerja dan program luar yang juga memenuhi jadual saya di hujung minggu. Keseronokan saya membantu sahabat-sahabat di iluvislam.com dan juga komitmen yang perlu saya arahkan pada bidang komunikasi yang begitu punya minatnya di hati.

Sekarang saya masih lagi terlibat dengan program terakhir iaitu Aceh Development International Conference, ADIC 2011 selama dua hari berturut-turut melibatkan orang-orang kenamaaan daripada republik aceh sendiri yang mungkin juga menjadi program terakhir dalam jadual saya pada bulan ini. Banyak yang perlu saya belajar selaku pengerusi majlis atau “emcee” sesebuah program.

Tambah uniknya apabila program pada kali ini melibatkan pelbagai kaum dan bangsa walaupun fokusnya terhadap masyarakat Aceh. Pembangunan aceh yang sedang dirancang selepas pasca tsunami yang berlaku beberapa tahun yang lalu berterusan ke arah seminar seperti ini. Saya begitu tertarik dengan budaya dan cara masyarakat aceh. Tidak kekok rasanya walaupun baru bersapa hanya dalam beberapa minit.

Bekerja sepenuh masa dan freelance pada hujung minggu bukan satu benda yang membebankan jika punya minat dan tahu apa yang ingin kita lakukan. Mudah sahaja hanya fokus pada setiap yang kita lakukan. 

Moga urusan teman-teman di luar di permudahkan.

Jumpa lagi. Salam wbt~~

shaiqin aisyah
22 rabi'ul awal 1432H

26 February, 2011

Ilham: Makna kata

Hari ini mereka bertanya tentang kehidupan
Inginku ceritakan tentang hal kematian
Ia adalah GURU
Yang mengajarku
makna kebangkitan dan perjuangan

Hari ini mereka bertanyakan tentang kesenangan
Inginku khabarkan tentang makna kepayahan
Ia adalah TEMAN kehidupan
Yang mengajarku
Sebuah erti kegigihan dan keazaman

Hari ini mereka bertanyakan tentang kejujuran
Inginku perihalkan ia tentang keikhlasan
Ia adalah HATI insani
Yang mengajarku dari dalam diri
Erti sebuah PERKONGSIAN iklim jiwa

Hari ini mereka bertanya tentang keseronokan
Inginku ceritakan tentang kesedihan
Ia adalah PEMBIMBING setia
Yang mengajarku
Erti kesedaran dan kecukupan..

www.deviantart.com

Shaiqin Aisyah
12.10am_23 rabiul'awal 1432H
[Masih di sini,kembara di penghujung doa..]

*jumpa lagi*

20 February, 2011

Titip kesempurnaan..

Bertemankan malam yang sunyi, bertemankan bingit-bingit malam yang menyelinap ke dalam minda. Malam-malam sebelumnya ditemani dengan seribu kedamaian.Ungkapan buat insan yang telah Allah pilih untuk bertakhta di hati dengan seukhwah ikatan yang erat dalam kalangan sahabat-sahabat di sisi. Ia cukup indah untuk di ungkapkan. Sebuah buku indah berbalut putih tidak lagi di sentuh, terasa begitu malas untuk menulis tatkala sekilas ingatan terpaut di minda hanya bicara kata terluah di sini.

Dalam membicarakan soal kesempurnaan usah lalai dan lupa bahawa tiap satunya setiap izin dari Allah swt. Bersangka baiklah untuk tiap sesuatu. Dan sebuah kekurangan yang melengkapi diri kita dan menjadi kekurangan itu sebuah kesempurnaan dengan izinya.InsyaAllah. Segalanya terlalu istimewa untuk disimpulkan ia diaturkan dengan cukup teliti. Kesempurnaan itu terletak pada setiap kekurangan antara sesuatu. Sambutlah ia dengan rasa keikhlasan dari hati.

Dengan izinNya untuk setiap sesuatu,lantas minda berbicara dan kalam mengeluarkan kata...

dengan izinNYA saya masih di sini..

*OFF*

Shaiqin Aisyah
10.50pm 16 Rabiulawal 1432H

12 February, 2011

Antara Dua C I N T A ..

Jika kamu tersenyum dikala dibahagia dan sedih dikala dia terluka,itu bukan cinta itu EMPATI.

Jika kamu bersedia mengorbankan segala hal demi menyenangkan hatinya,itu bukan cinta itu KEMURAHAN HATI.

Cinta adalah bahasa yang cukup sederhana yang tidak sampai dikirimkan oleh awan lalu gugurkan titisan hujan.

Cinta juga tidak terucap oleh kayu lalu hidupnya api yang menjadikannya abu.

Cinta adalah kematian atas egoisme disebalik diri yang kadang harus bisa menerima pantas diberikan pada harga sebuah CINTA.

Kerana inti pati cinta menCINTAI bukan merubah apa yang kita CINTAI menjadi seperti apa yag kita inginkan namun membiarkan ia menjadi seperti dirinya sendiri.

Cinta itu seninya fitrawi kerana CINTA kita bisa menghirup segarnya udara kerana CINTAlah kita bisa menikmati indahnya pelangi.

Cinta bukanlah kata murah dan lumrah yang dituturkan dari mulut ke mulut tetapi cinta adalah anugerah Tuhan yang suci jika manusia tahu menilainya.

Cintailah Dia, Cintailah Dzat yang meminjamkan kita sebuah nafas kehidupan. Selalu setia menunggu senafas cinta yang kita luahkan dengan tidak kurangnya seperti mana DIA.

Matinya tiap-tiap yang bernyawa apakala berakhirnya umur di dunia, semuanya di hidupkan semula barakah indahnya CINTA Dia buat kita.

Salam Maulidur Rasul :)

Shaiqin Aisyah
9.32pm_ 9 Rabi'ul Awal 1432 Hijrah
[Dalam kepala kaum hawa ada kekurangan,
tapi dalam hati mereka punya kelebihan..]

sumber gambar: www.deviantart.com

06 February, 2011

Kisah sekantung paku :)

Bersangka baiklah untuk setiap sesuatu yang berlaku. Kunci sabar itu telalu indah, itulah yang sering saya ingatkan pada diri. Walaupun kadang-kadang terlupa apabila amarah mengusai diri. Allah itu cukup lengkap sifatnya. Tiada dendam, hasad dengki dan iri hati. 

Dan kita diciptakan sebaik-baik kejadian maka selari dengan tindakan untuk memenuhi kepatuhan kepadaNYA. Sesungguhnya ALLAH itu maha pengasih dan penyayang. Dahulu saya selalu sangkakan bahawa abar itu punya batasnya. Namun sehingga kini kutemui sabar itu indah hasilnya.

Mari kita baca kisah ini :

www.deviantart.com

Pernah suatu ketika, ada seorang anak lelaki dengan kelakuan yang buruk. Ayahnya memberi dia sekantung penuh paku, dan menyuruh memaku satu batang paku di pagar halaman rumah setiap kali dia kehilangan kesabarannya atau berselisih paham dengan orang lain. Hari pertama dia memaku 37 batang di pagar.

Pada minggu-minggu berikutnya dia belajar untuk menahan diri, dan jumlah paku yang digunanya berkurang dari hari ke hari. Dia mendapati lebih senang menahan diri daripada memakukan paku di pagar.

Akhirnya, tiba saat bahawa dia tidak perlu lagi memaku sebatang paku pun dan dengan gembira disampaikannya hal itu kepada ayahnya. Ayahnya menyuruhnya mencabutkan sebatang paku dari pagar setiap hari apabila dia berjaya menahan sabarnya. 

Masa berganti masa dan hari berganti hari. Dia menyampaikan kepada ayahnya bahawa semua paku sudah tercabut dari pagar. Si ayah membawa anaknya ke pagar dan berkata

“Anakku kamu sudah berkelakuan baik, tetapi cuba lihat betapa banyak lubang yang ada di pagar itu” .

Pagar ini tidak akan kembali semula kalau kamu berselisih paham atau bertengkar dengan orang lain, perkara itu selalu meninggalkan luka seperti pada pagar.

*****

Namun saya sedar, setiap dari kita punya kekurangannya. Kekurangan itu bukan keburukan selagi mana boleh dibentuk untuk mendapat hasilnya. Berpesan-pesan pada diri disebalik tersirat di situ temui keindahannya. Sesungguhnya setiap dari tindakan kita diperhatikan dan DIA sebaik-baiknya dalam mengetahui setiap sesuatu. Syukurlah Allah masih sayangkan kita. jadi dia uji kita lengkap dengan ketabahan yang pasti ada pada diri kita.

Kata-kata yang diucapkan, kesal atau tidak ia lahir dari hati. Mungkin hilang sekilas dibawa angin, mungkin juga terikat di minda atau tersemat di sudut dalam hati bila ia berkali-kali. :) 

Saya berhenti menulis dulu untuk beberapa ketika. Jumpa lagi untuk penulisan akan datang. Moga segala urusan kalian dipermudahkan.

salam wbt~

*OFF*

shaiqin aisyah
12.35am_3 Rabi'ul Awal 1432 Hijrah
[masih di sini untuk hari-hari mendatang]

05 February, 2011

Perempuan itu..

Akulah perempuan itu
Berselimutkan harapan suci putih
lalu membalut dinginnnya alunan angin
mengimbas sosok tubuh

Akulah perempuan itu
Membuka kedua tangannya
memeluk sosok aku dengan huluran
ke atas sana

Akulah perempuan itu
Perempuan yang sedar
Lalu menunjukkan peranannya ke langit
mendung yang sebentar lagi hujan

Akulah perempuan itu
Perempuan yang berkiaskan sekeping hati
seindah hamparan karang di lautan
sedalam lebaran nyawa di sana

Akulah perempuan itu
Perempuan yang selalu membasuh
lalu utuhnya pengharapan masa lalu
mengikuti denting warna cinta seutuhnya

Akulah perempuan itu sedetik langkah
Kiasan kuat dan berharga
Hamparan debu sedingin angin
Bagi makhluk yang punya nama..

www.deviantart.com

shaiqin aisyah
12.05am_ 2 Rabi'ul Awal 1432 Hijrah
[rindu rasa dalam redhaMu,membentuk hati seikhlas diri..]

03 February, 2011

Cari aku kerana Ikhlas.

Assalamualaikum wbt. Salam  buat semua. Saya masih di sini,dan agak sibuk sehingga tidak berkesempatan untuk menulis kerana ada kerja yang perlu diselesaikan. Masih lagi dengan keadaan yang sama di mana-mana tempat, saya juga mendoakan keselamatan saudara-saudara kita di Mesir, Allah ada buat kalian dan hanya doa yang mampu dipanjatkan itu juga salah satu usahakan kita bukan? Walau di mana pun kita berada,DIA pasti mahukan yang terbaik untuk hamba-hambanya. Tinggal kita sendiri bagaimana mahu laksanakan.

Jika kita di luar sana sedang bergembira, teruja dengan nikmat yang kita ada, kongsikan bersama dengan huluran doa buat saudara-saudara kita di sana, moga mereka sentiasa selamat dan sejahtera. Doakan juga untuk keadaan yang aman di negara kita sendiri. Syukur yang tidak terhingga. Lalu harus difikir peranan kita, jika kita sebagai pemimpin apa amanah yang telah ditetapkan. Begitu juga jika seorang anak apa yang perlu kita lakukan dan begitu kita sebagai hambaNYA.

www.deviantart.com
Perlu sedar di mana kita berdiri sekarang. Kalau diikutkan, apalah sangat kesan kita pada merekakan? Tapi ketahuilah Allah melihat amal bukan hasilnya. Namun cara yang terbaik menghadapi permasalahan adalah tarbiyah. Ia merupakan satu pendidikan yang mengubah jahil kepada tahu, takut kepada berani,jahat kepada baik dan melulu kepada matang serta lain-lain lagi.

Balik-balik kena tarbiyah? Banyak yang kita perlu belajar,bukan mudah mahu bina kekuatan jiwa. Bukan dengan hanya sehari,bukan dengan satu berita yang kita sebarkan pada masyarakat akan membuatkan mereka bangun menentang musuh-musuh islam. Malah,ramai sekali yang senang untuk hidup dalam sistem yang diciptakan oleh musuh-musuh islam. Boleh jadi, tanpa sedar kita juga.

Ok jadi sampai kepada topik yang mahu saya kongsikan, Ianya tentang ikhlas. Saya jarang buat masa ini dapat menulis. Jadi bila ada masa sumbat-sumbatkan sekali. :)

Untaian makna ikhlas.

Saya tercari-cari makna ikhlas,hatta di buku-buku penulisan juga. Umumnya saya juga mengetahui definisinya berbunyi melakukan sesuatu perkara dengan niat kerana Allah swt dan semuanya haruslah berpaksikan kepada niat ke arahnya. Seperti mana tersemat di dalam surah al-An’am: 162-163:

‘Katakanlah: “sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagiNya; dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah).”

Setiap perbuatan yang kita lakukan harus punya niat yang betul dan ikhlas itu seharusnya lakaran abstrak yang mana mungkin terpampar pada tingkah laku kita. Tingkat pertama untuk ikhlas adalah niat.

Sesungguhnya segala amal tergantung pada niatnya’ (HR Bukhari dan Muslim)

Cemas dalam diri.

Perbicangan berkaitan ikhlas menarik perhatian saya. Salah satu buku yang ditulis oleh Amr Khalid berjudul “Menggapai Syurga dengan Hati” menerangkan bagaimana ikhlas itu hadir dalam nafsi kita. Ringkasnya adalah seperti,  jika kita beramal,kita jadi cemas dan mengganggp diri penuh kekurangan. Apabila hari ini kita mengatakan “Alhamdulillah, hari ini saya adalah orang yang soleh dan akan selalu menjadi baik. Siapakah yangdapat menjadi seperti saya.Pelbagai kebaikan telah saya lakukan. Teman-teman saya, hidup saya penuh mulia’.Ketahuilah kita berada dalam titis bahaya yang besar.Saat itu kita harus segera cemas pada diri.

Ketahuilah nilai ikhlas yang sebenar dan kembali bertanya diri:“Adakah ini untuk Allah ?”

Tidak mengharapkan pujian dari orang. Namun lazimnya hari ini, jika tidak dipuji kurang seronok melakukan amal. Apa yang penting setiap kebaikan yang kita buat hanya di ketahui Allah. Situasinya berbeza pada hari ini, kita hidup bermasyarakat dan kecualilah kebaikan yang dibuat memang kita mahukan masyarakat meneladani perkara-perkara kebaikan. Dikatakan ikhlas itu tidak mampu dibuat-buat. Ia diwujudkan dengan kesedaran.

Teman-teman sekalian, tidak mudah untuk kita bertemu dan tetap dalam keikhlasan. Hati kita selalu dicemari titik hitam. Tapi tetaplah mencari rasa cemas itu. Oh ya, bila kali terakhir kita solat penuh dengan rasa cemas?

Shaiqin Aisyah
9.15pm _29 Safar 1432H
[Amanah  kalau tidak dilaksanakan,jangan kata aku layak ya Tuhan..]

25 January, 2011

Matlamat seiring usaha kita!

"Jadi kita sendiri tentukan arahnya bagaimana"

Alhamdulillah masih diberikan kesempatan untuk terus menulis. Saya agak sibuk sejak beberapa minggu ini dan apabila tiba hujung minggu hanya memikirkan untuk rehat tanpa perlu melakukan apa kerja. Jelasnya apa yang saya buat itu tidak tepat sama sekali. Penat bukan bermaksud semuanya saya perlu hentikan. Penat itu juga satu nikmat yang perlu kita hargai. Penat itu tandanya kita diberikan hidup untuk faham apa sebenarnya peranan kita di sini!

Saya belajar bahawa setiap apa yang kita buat perlu ditetapkan dengan matlamat yang sepatutnya. Namun yang pasti matlamat yang jelas tidak mungkin terlaksana tanpa usaha dan gerak langkah yang seiring perlu dilakukan.

 Sudah sebulan lebih saya di tempat baru dan masa yang terluang juga saya cuba isikan dengan kerja “freelance” yang saya sedang berjinak-jinak untuk cuba.

Ramai yang beri nasihat pada saya setiap kerja yang dilakukan perlu fokus, dan tentunya pada saya minat itu sangat penting. InsyaAllah doakan saya yang terbaik untuk setiap yang saya lakukan. Saya doakan kalian juga berjaya dengan apa yang dilakukan. Hidup ini ibarat air, kita ikut sahaja haluan air tersebut atau kita tentukannya bagaimana.

Jumpa lagi untuk penulisan akan datang.
Berhenti dulu.
*Off*

shaiqin aisyah
20 safar 1432H_11.30am
{ lagu ceritera hati _Hafiz Hamidun]

20 January, 2011

Dia sentiasa ada buat kita..

Setiap hari kehidupan kita adalah ibadah. Akan jadinya ibadah jika setiap tindakan kita adalah kebaikan dan manfaat kita bersama. Ia diibarat seperti sepanduk yang diikat pada dua tiang. Apabila datangnya hujan dan panas, lakaran tulisan pada sepanduk itu pasti akan luntur. Seperti itu juga seseorang itu bergelar manusia. Manusia tidak sempurna, setebal mana pun iman seseorang adakalanya mudah goyah. Namun,ungkapan tidak sempurna itu bukanlah alasan pada diri kita untuk tidak cuba menjadi dan memberi yang terbaik sebagai insan yang punya tanggungjawab di sisiNya.

Tidak ada iman tanpa ujian. Kata-kata itulah yang dipegang oleh seorang mukmin dalam mengharungi kehidupannya. Susah senang dan ujian yang datang menimpa di uji dengan keimanannya. Seperti menempuh peperiksaan di dewan, ada yang lulus dan ada yang cuba akan mengulangnya kembali. Hal ini bergantung sejauh mana usaha yang kita lakukan dan segalanya diserahkan kepada DIA dengan berlapang dada.

Rasulullah saw. Bersabda: 

“Allah menguji hamba-Nya dengan menimpakan musibah sebagaimana seorang menguji kemurniaan emas dengan api (pembakaran). Ada yang keluar emas murni. Itulah yang dilindungi Allah dari keragu-raguan. Ada juga yang kurang dari itu (mutunya) dan itulah yang selalu ragu. Ada yang keluar seperti emas hitam dan itu yang memang ditimpa fitnah (musibah).” (HR. Athabrani)

Inilah ujian yang hari-hari kita lalui. Selebihnya ia boleh menunjukkan dan menentukan mutu seorang hambanya. Jika hasil ujian yang perlu dilalui dengan kesabaran dan ia seharusnya bermula dengan titik sabar, rezeki yang sedikit menjadi berkat. Bak kata orang  "sedikit tapi punya istimewanya tersendiri"

“Tidak ada sesuatu yang melata di muka bumi ini, kecuali ditanggung oleh Allah Taala rezekinya dan dia (Allah) mengetahui tempat kediamannya dan tempat penyimpanannya, semua (tertera) di kitab yang jelas”.
(Surah Hud- ayat 6)
deviantart.com

Perlu kacamata positif

"Ku sangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari" . Hidup tidak selalunya mudah. Namun tidak semua daripada kita memahami dan melihatnya dari kaca yang positif. Begitu juga saya, ia dilihat daripada buah kelemahan saya sendiri. Dan ketika semangat meredup, banyak yang memilih untuk lari dari kenyataan yang ada. Ada juga menunjukkan ke langit lalu berkata "Allah tidak adil". Lalu di mana adilnya kita meletakkan diri kita sebagai hambanya?.

“Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” 
(Al-Baqarah: 155)

Allah itu adil,DIA itu mencintai kita dan menyayangi kita lalu dia menguji kita.

Bersama kesukaran ada kemudahan.

Saya selitkan ringkasan melalui penerangan sepotong hadis buat tatapan kita semua:

Nabi SAW bersabda:
“Bergembiralah (hai orang-orang mukmin) kelak datang kemudahan bagi kalian, kerana satu kesulitan sekali-kali tidak akan dapat mengalahkan dua kemudahan”.

Lalu ditafsir dan ditilik dengan mata hati.Tanya diri di mana realiti berpijaknya kita sehingga ke hari ini?

shaiqin aisyah
15 Safar 1432H 12.20am
[meniti hari-hari dengan  kedewasaan]

16 January, 2011

Berdirilah di bumi..

Tidak salah punya angan-angan jika ia masih dilihat berpijak di bumi yang berdiri. Tidak salah becita-cita tinggi selagi mana ia tidak mencemuhkan hidup yang lalu,kerana ia guru pada hari semalam. Lihatlah hidup dengan keazaman dan hayatilah setiap saat dengan penuh kesyukuran. Kerana siapa kita dulu bukan penentu kita pada masa hadapan, tapi apa yang kita corakkan pada hari ini itulah siapa kita masa hadapan. Jauh harus lebih ingat bahawa siapa kita, sama ada ketika kita berdiri atau duduk saat ini.

Berdirilah kita di bumi ini
agar jiwa kita cepat tumbuh dan mengerti
lalu kita mampu memiliki dan menghayati
untuk terus melangkah dan adakalanya terhenti

Berdirilah di bumi ini
tempat bercampurnya dosa pahala
tempat jiwa, jatuh bangun kita
tempat suka dan duka

Jadi berdirilah dibumi ini
agar kita memiliki maruah diri
lalu bangun menongkah pagi
dengan cita dan keazaman di hati
bahkan dengan iman yang memagari diri

Kita boleh menangis dengan tangis
tapi bukan dengan rasa kehinaan
tangisan itu bukan lambang kelemahan
tapi milik hamba yang sedar siapa diri ini

Kita boleh ketawa dalam gembira
Tapi bukan dengan rasa kemegahan
Gembira bukan lambang kesombongan
Tapi nikmat tuhan yang tidak harus kita lupa

Gembira suka dan duka
Bisa membuatkan kita tersenyum
Dengan layaknya iman di jiwa
ketika zikir dan fikir menemani diri
lalu kita sentiasa sedar
bahawa di manapun kita berada
kita sedang berdiri di bumi

Di bumi yang punya pemiliknya....

devianart.com

shaiqin aisyah
10 safar 1432H 11.15pm
[kembara di penghujung doa]

14 January, 2011

Bicara hidup tanpa warna.

Alhamdulillah masih lagi diberikan kesempatan untuk terus menulis di blog ini. Seperti biasa setiap penulisan saya adalah salah satu cara bagaimana saya merasakan kepuasan apabila sesuatu perkara itu saya sampaikan dengan cara menulis. Mungkin pada sesetengah orang berbeza, namun inilah apa yang saya rasakan. Saya suka selitkan setiap penulisannya dengan apa yang saya lihat dan saya alami setiap hari. Maaf jika ada penulisan saya menyinggung mana-mana pihak.

Warna-warni kehidupan.

deviantart.com
Kali ini saya suka bicarakan tentang kehidupan .Warna-warni sebuah kehidupan yang terlakar pada kanvas kehidupan seharian kita. Cuba kita bayangkan dunia kita tanpa warna. Dan pastinya yang ada adalah hitam dan putih. Bayangkan kepada kepudaran, dan kesuraman yang wujud dari penglihatan kita. Bukan maksudnya hitam dan putih itu jelas kesuramannya,namun hilang seri warna pada sirna penglihatan kita.

Betapa kita sedar bahawa warna-warni itu adalah nikmat anugerah Allah yang tidak ternilai. Namun berapa ramai yang mensyukurinya. Ramai antara kita sedar apabila nikmat itu ditarik balik oleh DIA. Jika kita tahu indahnya nikmat warna, tanyalah pada orang buta. Tentu betapa mereka ingin melihat warna ,betapa setiap hari ia hanya melihat hitam yang tidak bercahaya. Namun pada setiap yang terjadi ada hikmahnya, indahnya mata hati yang wujud pada diri mereka pencetus semangat hari-hari mereka.

Keagungan dari DIA.

Lihatlah pergantian siang dan malam, bayangkan jika kita melihatnya untuk kali yang pertama dalam hidup kita. Tidakkah kita menemui kehalusan, kesempurnaan, kehebatan dan keagungan. Bukankah Allah SWT tidak jadikan semua ini sia-sia. Bahkan mukmin yang melihat keindahan ini akan menghubungkan terus kejadian ini dengan hari kepulangannya kepada Allah SWT. Betapa segala keindahan ini akan sirna, betapa semua ini hanyalah sementara dan betapa semua kita akan kembali kepadanya sehingga akhirnya ia terus tersungkur sujud. 

Firman Allah dalam surah Al-imran ayat 190-191

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka."

Kejayaan milik kita bersama.

Begitu juga saya percaya untuk sebuah kejayaan yang ingin digenggam, bahawa Setiap kita berhak untuk meraih kejayaan dan kebahagiaan. Asalkan kita sendiri memiliki harapan dan kemahuan serta mampu menterjemahkan harapan dan kemahuan ini dalam bentuk sikap dan tindakan maka yang akan menghalang kita hanyalah putus asa dalam hilang kenyakinan dalam diri kita.
deviantart.com
Saya selalu meletakkan bahawa seseorang itu berjaya bukan kerana kegeniusannya atau kerana keturunannya. Kejayaan sebenar bermula dengan perubahan sikapnya iaitu apabila kita mula memandang jauh kehadapan dengan penuh harapan serta menginginkan ketinggian dan kemuliaan, renungan dan penghayatan itu kemudiannya dipantulkan kepada hakikat diri kita sekarang lalu kita mula meneliti sikap-sikap yang perlu kita bangunkan untuk meraih segala harapan yang kita bangunkan tadi disamping kita cuba menanggalkan segala sikap yang akan menghalangi perjalanan kita.

Persandaran yang sebenarnya perlulah diletakkan pada tempat yang sebenarnya. Jika kita mudah mengeluh sebelum melakukan sesuatu tanpa sedikit pun usaha yang cuba kita laksanakan.Jadi kita sendiri fikirkan bagaiaman. Alangkah indahnya hidup dengan warna warni sebuah kehidupan.

Saya berhenti dulu. Jumpa lagi dipenulisan akan datang.

*OFF*

shaiqin aisyah
9 safar 1432H. 9.30pm
[Sedang belajar sesuatu yang baru setiap hari. 
Saya punya ramai kawan baru,saya teruja mengenali mereka. 
Terima Kasih Tuhan. ]